Oct 21, 2007



ALI KHAN SHAMSUDDIN.
KUALA LUMPUR 1 Dis. – Raja Ular, Ali Khan Shamsuddin yang pernah memecah rekod dunia tinggal bersama 5,118 kala jengking selama 21 hari pada tahun 1997 meninggal dunia awal pagi ini akibat dipatuk ular.
Allahyarham yang berusia 49 tahun meninggal dunia pada pukul 1 pagi ini setelah dipatuk ular tedung selar berukuran enam meter panjang yang baru dibelinya dari Thailand Ahad lalu.
Adik ipar arwah, Babjan E. Mohd. Ibrahim berkata, Allahyarham dipatuk ular di lengan kanan sewaktu ingin memberi reptilia itu makan pada pukul 7 petang Selasa lalu di kediamannya di Taman Samudera, Batu Caves di sini.
Menurutnya, selepas kena patuk, arwah dikejarkan ke klinik berhampiran sebelum dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan lanjut.
Katanya, mangsa kemudian mula berasa lemah dan lebam-lebam pada badannya.
‘‘Bagaimanapun, pada pukul 12.50 tengah malam tadi, doktor menghubungi saya memaklumkan bahawa Allahyarham semakin nazak dan tepat pukul 1 pagi arwah menghembuskan nafas terakhir,’’ kata Babjan ketika ditemui di sini hari ini.
Beliau menambah, kejadian dipatuk ular bukan kali pertama berlaku ke atas Allahyarham kerana arwah juga pernah tiga kali dipatuk ular iaitu pada tahun 1989, 1992 dan 1997.
Katanya, selain merupakan seorang peniaga ubat, Allahyarham juga membuat pertunjukan ular.
Babjan berkata, Ali Khan juga menghidap penyakit diabetes.
Allahyarham meninggalkan dua orang balu, Mabube Dastiker, 30-an dan Jumah Bebe, 34, serta lima orang cahaya mata iaitu tiga lelaki dan dua perempuan berusia lingkungan tujuh hingga 21 tahun.
Jenazah beliau dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Jambu, Taiping, Perak, hari ini.
Sementara itu, pegawai Pusat Racun Negara, Universiti Sains Malaysia (USM), Rosman Ahmad berkata, ular tedung selar mampu membuatkan kesakitan pada tempat gigitan dalam masa setengah jam.
Beliau berkata, ular tedung selar berasal daripada keluarga Elapidae dan mempunyai bahan racun saraf (neurotoksin) yang mampu bertindak meracun sistem saraf manusia.
Di samping itu, bisa ular itu juga mengandungi sejenis enzim, hyaluronidase yang bertindak sebagai mangkin bagi meningkatkan penyebaran bisa ke saluran darah.
‘‘Bisa yang mengalir ini bertujuan melumpuhkan atau membunuh mangsa, selain bertindak sebagai ejen penghadaman,’’ katanya dalam satu rencana yang disiarkan laman web Pusat Racun Negara USM.
Rosman berkata, antara tanda tanda-tanda lain keracunan bisa ular jenis itu ialah bahagian bekas gigitan membengkak (selepas satu jam digigit), lemah-lemah badan, pengeluaran air liur yang berlebihan dan mengantuk.
Katanya, patukan ular tedung selar juga mampu melumpuhkan otot-otot muka, bibir, lidah, saluran pernafasan dan menurunkan tekanan darah.
‘‘Mata mangsa juga akan menjadi kuyu (ptosis), pandangan menjadi kabur, sawan (konvulsi) dan badan berpeluh.
‘‘Dalam kes-kes teruk, ia akan menyebabkan komplikasi kardiovaskular, hipertensi dan sakit yang teruk pada bahagian perut,’’ jelasnya.

( sumber utusan malaysia )

0 Comments:

Post a Comment



:: picture ::

cs